Penyokong berdoa untuk Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Penyokong berdoa untuk Ahmad Zahid

BEBERAPA individu dipercayai penyokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berdoa di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menjadi tumpuan pengamal media bagi mengikuti perkembangan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sama ada diperintah membela diri atau dibebaskan daripada 47 pertuduhan melibatkan kesalahan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Seawal pukul 7 pagi tadi, pemberita, jurugambar dan juru video tempatan dan antarabangsa sudah mula berkumpul di luar kompleks mahkamah.

Suasana di sekitar mahkamah dalam keadaan terkawal dengan pemantauan oleh pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Pihak polis memberi amaran kepada semua yang hadir hari ini untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa orang yang dipercayai penyokong Ahmad Zahid berkumpul, berdoa, dan berserah terhadap apa jua keputusan mahkamah yang akan diumumkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Setakat ini, beberapa pemimpin UMNO turut hadir memberi sokongan kepada Ahmad Zahid iaitu Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd, sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya