ALOR SETAR: Seorang pengarah penguat kuasa di sebuah agensi kawal selia direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah secara bulanan.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor di Mahkamah Alor Setar hari ini. Menurut sumber, penahanan individu lelaki berusia 42 tahun itu dibuat kira-kira pukul 12 tengah hari semalam di sebuah lokasi di Cyberjaya.
“Suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada seorang individu dengan menggunakan orang tengah. Difahamkan, wang tersebut diterimanya dari Julai 2019 hingga Mac 2021 bagi membantu pihak tertentu mendapatkan tender pengurusan pembersihan awam daripada syarikat pembersihan di Kedah,” katanya di sini hari ini.
Tangkapan tersebut dipercayai lanjutan daripada penahanan lebih 25 individu pada pertengahan bulan ini, bagi membantu siasatan terhadap kes pengemukaan penyata akaun palsu beberapa syarikat untuk memasuki tender dalam sebuah syarikat pembersihan di wilayah utara tanah air.
Dalam pada itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam ketika dihubungi enggan mengulas mengenai kes tersebut kerana pihaknya masih menjalankan siasatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN ONLINE