PETALING JAYA: Pasukan guaman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin dapat mengemukakan hujah yang kuat dan kukuh di peringkat pembelaan yang dijangka bermula April ini.
Peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik berkata, barisan-barisan peguam Ahmad Zahid juga yakin di peringkat itu pihaknya mampu menimbulkan keraguan munasabah terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.
“Meskipun berdepan semua pertuduhan itu, kami akan mengemukakan pembelaan yang kuat dan kukuh, dan pembelaan akan bermula pada 26 April depan.
“Kami memiliki pembelaan yang kuat. Kami akan berjaya, InshaAllah. Ya, kami yakin,” katanya ketika kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pagi tadi, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik yayasan berkenaan.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri. -UTUSAN ONLINE