Peguam positif Covid, permohonan singkir hakim ditangguhkan - Utusan Malaysia

Peguam positif Covid, permohonan singkir hakim ditangguhkan

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan salah seorang Hakim Mahkamah Tinggi daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan lari cukai hari ini ditangguhkan ke 3 Februari ini.

Ia berikutan peguam bela utamanya, Datuk Geethan Ram Vincent disahkan dijangkiti Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin wajib sehingga 26 Januari ini.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan juga sepatutnya mendengar permohonan Rosmah untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan bermula 27 April ini.

Selain itu, peguam Azrul Zulkifli Stork yang menyebut bagi pihak pembelaan turut memberitahu peguam-peguam lain seperti Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Mohamed Reza Abdul Rahim, P. B. Rajivan Nambiar juga dikenakan perintah kuarantin.

“Datin Seri Rosmah juga dikenakan kuarantin sehingga 25 Januari ini kerana merupakan kontak rapat kepada Geethan,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn ketika ditanya mahkamah, beliau memaklumkan pihaknya ada menerima sesalinan surat daripada barisan pembelaan namun menyatakan bahawa pihaknya bersedia untuk meneruskan prosiding bagaimanoun bergantung kepada budi bicara mahkamah.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa barisan pembelaan juga akan memfailkan satu lagi permohonan iaitu permohonan untuk menyingkirkan Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes itu.

Perkara itu turut disahkan oleh Azrul Zulkifli.

Pada 14 Disember 2021, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan Rosmah yang agar hakim itu dihalang daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Pada 22 Disember 2021, Rosmah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dan kes ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya