Kes palsu dokumen UMS: Keterangan bela diri Peter didengar 9 Februari - Utusan Malaysia

Kes palsu dokumen UMS: Keterangan bela diri Peter didengar 9 Februari

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 9 Februari ini bagi mendengar keterangan bela diri Datuk Peter Anthony terhadap pertuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Azura Alwi menetapkan keterangan pembelaan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu dan tiga saksi lain didengar selama lima hari iaitu pada 9, 10, 16, 17 dan 18 Februari ini.

Perbicaraan yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan selepas Peter melantik peguam baharu mewakilinya dalam perbicaraan itu.

Ketika memaklumkan perkara tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin turut memberitahu kedua-dua pihak bersetuju prosiding hari ini dijalankan tanpa kehadiran tertuduh kerana pihak pembelaan memohon bicara dilapangkan.

Pihak pendakwaan turut menyatakan, jika pembelaan bercadang menggunakan pernyataan saksi, dokumen itu perlu diserahkan seminggu sebelum saksi-saksi memberi keterangan.

Ujar Wan Shaharuddin, pihak pendakwaan juga belum menerima pernyataan pembelaan daripada peguam yang sepatutnya diserahkan hari ini.

Sementara itu, peguam yang baru dilantik, S. Devanandan memaklumkan, pihak pembelaan akan bertemu tertuduh minggu ini bagi mendapatkan arahan menyediakan kes pembelaan.

Beliau yang hadir bersama-sama peguam Datuk D. Sentinathan berkata, pembelaan akan memanggil empat saksi termasuk Peter memberi keterangan pada prosiding bulan depan.

Perbicaraan terhadap tertuduh bermula 5 April lalu dengan mendengar keterangan 15 saksi pendakwaan.

Mereka termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan bekas Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Harun Abdullah.

Pada 14 Disember lalu, mahkamah memerintahkan Peter membela diri terhadap tuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Menurut pertuduhan, surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering yang dimiliki oleh tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya