KOTA BHARU: Seorang buruh binaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan terhadap dua mangsa menggunakan sebilah parang pada 18 Januari lalu.
Tertuduh, Abdul Muhaimin Alias, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Dia bersama seorang lagi suspek yang masih bebas didakwa melakukan rompakan bersenjatakan parang terhadap Mohammad Jubair Lalu dan rakan sehingga mangsa kerugian sebanyak RM5,000.
Perbuatan itu dilakukan di rumah kongsi Kampung Pauh Badang, pada pukul 3 pagi, pada 18 Januari 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ahmad Fariz, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh mengaku salah dan memohon satu tarikh ditetapkan untuk fakta kes serta jatuh hukuman.
Mahkamah menetapkan Rabu ini sebagai tarikh untuk jatuh hukum. -UTUSAN ONLINE