Bekas Hakim saman Kerajaan, tidak terima kenaikan pencen sepatutnya - Utusan Malaysia

Bekas Hakim saman Kerajaan, tidak terima kenaikan pencen sepatutnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff dan dua bekas Hakim Besar Malaya merupakan antara 28 bekas hakim yang memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan tiga yang lain kerana gagal memberikan kenaikan pencen yang sepatutnya diterima sejak tujuh tahun lalu.

Turut dinamakan sebagai plaintif dalam saman pemula yang difailkan minggu lalu di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma-firma guaman, Tetuan Chooi & Company + Tetuan Cheang & Ariff ialah tujuh balu kepada bekas-bekas hakim termasuk balu kepada bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad.

Selain Hakim Alauddin, turut menjadi plaintif ialah bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan bekas Hakim Besar Malaya wanita pertama, Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Beberapa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan turut dinamakan sebagai plaintif ialah Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Mahdev Shankar, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Md. Yunus dan Datuk Shaik Daud Ismail.

Selain Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam turut dinamakan sebagai defendan kedua hingga keempat.

Menurut penyataan yang difailkan, plaintif-plaintif terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan Malaysia yang telah bersara atau orang tanggungan Hakim Hakim yang telah meninggal dunia.

Ujarnya, mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen Hakim-Hakim bersara dan orang tanggungan hakim-hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa Hakim-Hakim yang masih berkhidmat dan disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa.

Cara pengiraan pelarasan tersebut telah dinyatakan dalam Jadual Ketiga dan Keempat akta tersebut namun Jadual terbabit telah dipadamkan daripada daripada akta tersebut menyebabkan hak mereka terjejas apabila gaji Hakim Hakim yang sedang berkhidmat telah dinaikkan berkuatkuasa dari 1 Julai 2015.

“Di bawah peruntukan seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971 (sebelum pindaan dibuat), pencen plaintif akan diselaraskan secara automatik sejajar dengan kenaikan gaji hakim yang masih berkhidmat. Bagaimanapun, mengikut peruntukan seksyen 15B(1) (selepas pindaan dan dikira secara retrospektif), pencen hakim bersara diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan 2 peratus dan tidak lagi mengambil kira kenaikan gaji yang diterima oleh hakim-hakim yang masih bekerja,”ujar dokumen terbabit.

Keadaan tersebut menyebabkan mana-mana Hakim yang dilantik sebelum 1 Januari 2014 akan menerima pencen lebih rendah daripada yang sepatutnya.

Menurut Perkara Artikel 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan, hak pencen seseorang Hakim dilarang atau secara mandatori dihalang daripada diubah sehingga merugikannya selepas pelantikannya.

Plaintif mendakwa kesemua defendan bertanggungjawab membayar pencen dan faedah dengan kenaikan melebihi 2 peratus setiap tahun.

Oleh itu, kesemua plaintif memohon deklarasi defendan-defendan telah melanggar Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkata 125(9) Perlembagaan Persekutuan apabila gagal menetapkan peratusan kenaikan melebihi 2 peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain sebaik sahaja kenaikan gaji Hakim Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman yang sedang berkhidmat berkuatkuasa pada 1 Julai 2015.

Plaintif turut memohon deklarasi bahawa seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 adalah peruntukan mandatori yang terpakai serta merta dan boleh mengakibatkan kerugian bagi hakim-hakim bersara dan orang tanggungannya.

Selain itu, plaintif memohon agar kesemua defendan kedua dan ketiga menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk menetapkan kenaikan peratusan lebih tinggi daripada dua peratus setahun ke atas pencen dan faedah berkuat kuasa 1 Julai 2015.

Kesemua plaintif juga memohon satu perintah ke atas semua defendan agar membayar setiap plaintif jumlah pencen dan faedah yang sepatutnya diterima bermula 1 Julai 2015 dan semua pembayaran hendaklah dibuat serta merta selepas penghakiman dibuat.

Plaintif juga memohon ialah faedah pra-penghakiman dan penghakiman sebanyak lima peratus setiap satu dari tarikh penghakiman dibuat sehingga penyelesaian penuh. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya