KOTA BHARU: Seorang bapa yang memukul seluruh badan anak perempuan berusia lapan tahun bertalu-talu dengan kabel telefon dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hukuman tersebut dijatuhi ke atas tertuduh, Wan Azlan Wan Ali, 44, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memukul mangsa yang berusia lapan tahun menggunakan kabel sehingga cedera di sebuah rumah di Kampung Kelong, Pasir Puteh kira-kira pukul 1 pagi, 28 Disember lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 29 Disember lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah memukul anak bongsunya itu menggunakan kabel telefon di seluruh badan hanya disebabkan berang kerana telefon bimbit miliknya mengalami masalah teknikal.
Mangsa bersama adik-beradiknya lain kemudian melarikan diri dari rumah ketika tertuduh sedang tidur dan cuba untuk mencari kakak mereka yang belajar di sebuah kolej di Kota Bharu.
Melihat kecederaan pada badan adiknya, kakak mangsa tampil membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan pada pukul 5.20 pagi, Rabu lalu, iaitu sehari selepas kejadian ketika berada di rumahnya. -UTUSAN ONLINE