47 pertuduhan rasuah, pecah amanah,gubah wang haram: Zahid perlu bela diri - Utusan Malaysia

47 pertuduhan rasuah, pecah amanah,gubah wang haram: Zahid perlu bela diri

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan keterangan bela diri Presiden UMNO dan hampir 20 saksi pembelaan didengar selama 39 hari bermula 26 April ini.

Prosiding ditetapkan pada 26 hingga 28 April; 23 hingga 26 Mei; 27 hingga 30 Jun; 4 hingga 7 Julai; 22, 23, 29 dan 30 Ogos; 19 hingga 22, 26 hingga 29 September, 17 hingga 20, 31 Oktober dan 1 hingga 3, 7 hingga 10 November ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Ahmad Zahid, 69, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang mana beliau merupakan pengasas dan pemegang amanahnya.

Ketika mengumumkan keputusan pada akhir kes pendakwaan, Hakim Collin berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

ends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya