Pembantu perawatan kesihatan dituduh terima rasuah RM300 urus jenazah - Utusan Malaysia

Pembantu perawatan kesihatan dituduh terima rasuah RM300 urus jenazah

SHARUM Hassim (kiri) yang mengaku tidak bersalah tuduhan menerima rasuah berhubung pemberian kerja pengurusan jenazah dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pembantu perawatan kesihatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini bagi berdepan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM300 berhubung pemberian kerja pengurusan jenazah di Hospital Kajang, Selangor pada tahun lalu.

Tertuduh, Sharum Hassim, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, Sharum yang merupakan kakitangan Gred U11 di Hospital Kajang didakwa menerima suapan berjumlah RM300 daripada seorang individu berusia 33 tahun pada 9 Disember 2020.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Taman Ria Jaya, Sungai Petani menerusi satu akaun di bank tersebut.

Tertuduh didakwa menerima wang tersebut sebagai upah bagi memberikan kerja pengurusan satu jenazah dari Unit Forensik Kajang kepada lelaki berkenaan yang dipercayai merupakan ejen pengurusan jenazah.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah  Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan dengan dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM300 daripada individu sama.

Dalam pertuduhan pilihan tersebut, Sharum didakwa menerima wang tersebut pada tarikh, lokasi serta menerusi akaun bank sama tanpa sebarang balasan daripada individu berkenaan, dengan tertuduh mengetahui perkara itu ada kaitan dengan tugas rasminya itu.

Dia didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman sementara tertuduh diwakili peguam, Ibrahim Ismail.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 oleh seorang penjamin dengan dia turut diarahkan melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM Shah Alam atau yang berdekatan.

Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Januari depan dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas permintaan pihak pendakwaan.

Tertuduh difahamkan membayar wang jaminan tersebut.  

Sebelum ini akhbar melaporkan lima individu ditahan SPRM kerana disyaki menerima wang suapan daripada ejen bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

Tiga daripada individu yang ditahan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 8 Disember lalu manakala seorang lagi dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh sehari selepas itu.

Kesemua mereka merupakan kakitangan di Hospital Kajang. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN