Ubah siaran televisyen: Warga emas didakwa bunuh anak - Utusan Malaysia

Ubah siaran televisyen: Warga emas didakwa bunuh anak

TERTUDUH, S. Krisman hadir Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru di Hulu Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Seorang bapa berusia 72 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya dengan mengelar mangsa selepas kedua-dua bertengkar berkaitan isu siaran televisyen, minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh S. Krisman, 72, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai majistret.

Pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa membunuh K. Apacnaidu, 37, di sebuah rumah di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya, Ulu Bernam di sini antara pukul 11 pagi dan 11.30 pagi pada 3 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Khadijah Amir Hamdzah manakala tertuduh diwakili peguam Dr. Vasu Appu.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan kes dan serahan dokumen.

Media pada 4 November lalu melaporkan seorang lelaki bertindak di luar jangkaan apabila sanggup mengelar leher anaknya sendiri dalam satu pertengkaran berhubung siaran televisyen dalam kejadian di rumah mereka di Bernam Jaya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 12.55 tengah hari daripada suspek yang memaklumkan anaknya ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu.

Suspek mendakwa pergi ke kedai sebelum menemukan anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika pulang ke rumah.

Hasil siasaran yang dilakukan pihak polis bagaimanapun mendapati kecederaan bukan akibat tindakan membunuh diri sebaliknya dilakukan oleh pihak ketiga kerana terdapat kesan kelar yang dalam pada leher mangsa.

Siasatan lanjut menunjukkan, lelaki berusia 72 tahun itu kemudiannya mengaku bertengkar dengan anaknya selepas mangsa mengubah siaran televisyen yang sedang ditonton.

Sewaktu pertengkaran berlaku, suspek dikatakan bertindak menolak mangsa ke dinding sehingga jatuh sebelum dia mengambil pisau di dapur menyebabkan berlaku pergelutan yang mengakibatkan mangsa ditoreh pada leher sebanyak tiga kali. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN