Tommy mohon batal saman Najib - Utusan Malaysia

Tommy mohon batal saman Najib

tommy thomas
TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Kerajaan Malaysia memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang menuntut ganti rugi hampir RM2 juta atas dakwaan dirinya telah dituduh secara salah di mahkamah.

Permohonan tersebut dibuat atas alasan saman yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu hanyalah satu `serangan sampingan’ (collateral attack) untuk menghentikan semua perbicaraan dan kes yang dihadapinya.

Notis permohonan dan afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib difailkan pada 18 November lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan, saman yang difailkan Najib pada 22 Oktober lalu adalah sesuatu yang mengaibkan, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Najib selaku plaintif juga tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah dan merupakan satu tindakan yang tidak boleh dikekalkan (obviously unsustainable) atau dipertahankan.

Ahmad Akram dalam afidavit tersebut menyatakan, Tommy selaku Peguam Negara ketika itu mempunyai kuasa dan budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding dalam mana-mana kes jenayah.

“Tindakan plaintif dalam keadaan kes-kes jenayah terhadapnya telah dimulakan dan sedang berjalan adalah adalah satu percubaan untuk menghalang pendakwaan daripada menjalankan tugasnya. Sekiranya tindakan saman plaintif ini dibenarkan, ia akan mengganggu kes-kes itu,”katanya.

Selain itu, timbalan pendakwa raya itu menyatakan, Najib boleh mengemukakan keterangan dan bukti berkaitan dakwaan misfeasans, salah guna proses dan niat jahat defendan dalam perbicaraan kes-kes yang dihadapainya.

Oleh itu, defendan memohon agar saman Najib itu dibatalkan, kos ditanggung oleh plaintif dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Sementara itu, peguam D. Yudestra yang mewakili Najib ketika dihubungi media mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan mahkamah telah menetapkan 19 Januari 2022 untuk pengurusan kes. 

Najib dalam saman beliau menyatakan Tommy telah melakukan misfeasans (gagal melaksanakan tugas dengan betul) dan penyalahgunaan proses dengan niat jahat (malicious process) dan cuai ketika menjadi Peguam Negara serta pertuduhan yang dihadapinya adalah sesuatu yang telah lama dirancang.

Najib mendakwa Tommy telah menyalahgunakan kuasa bagi memenuhi rancangannya untuk memenjarakan Najib, cuai menjalankan tanggungjawabnya untuk bertindak secara adil, mengikut batasan undang-undang dan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

Akibatnya, Najib mendakwa beliau hilang reputasi sebagai ahli politik, hilang kebebasan semasa disiasat pihak berkuasa dan turut mengalami kesakitan, penderitaan serta trauma.

Oleh itu, Najib memohon deklarasi bahawa Tommy telah melakukan misfeasans serta ganti rugi am, teladan dan tambahan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah.

Beliau juga menuntut ganti rugi sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi dan kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya