Najib, Shafee gagal ketepikan Sri Ram, rayuan ditolak - Utusan Malaysia

Najib, Shafee gagal ketepikan Sri Ram, rayuan ditolak

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan, pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kanan bagi mengendalikan kes jenayah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang betul.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Yaacob Md. Sam berpuas hati, kedua-duanya gagal membuktikan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas bertindak melampaui undang-undang atau berniat jahat ketika melantik Sri Ram sebagai TPR Kanan mengetuai pasukan pendakwaan.

Sehubungan itu, beliau yang bersidang bersama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali sebulat suara menolak rayuan bekas Perdana Menteri dan peguam terkemuka itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman mereka.

Mahkamah membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk mengetepikan perintah kos RM10,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi kerana kes tersebut melibatkan kepentingan awam.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Yaacob menyatakan panel itu tidak ragu-ragu bahawa Sri Ram ialah peguam yang lebih daripada layak dan sesuai untuk dilantik sebagai TPR Kanan berdasarkan latar belakang dan pengalamannya.

Sri Ram dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes Najib membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion dan kes Muhammad Shafee membabitkan pengubahan wang haram RM9.5 juta.

Ujar beliau, hujah berkaitan pengemukaan surat pelantikan Sri Ram tidak menjadi isu di hadapan panel tersebut kerana ia telah diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan selepas Peguam Negara mengeluarkan salinan dokumen berkenaan seperti yang diarahkan.

Menurut hakim itu, Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah yang disandarkan oleh Peguam Negara berdiri sendiri dan boleh digunapakai untuk melantik Sri Ram atau mana-mana individu yang difikirkan sesuai dan berkelayakan sebagai TPR Kanan.

Pada hemat panel itu, seksyen berkenaan dipinda bagi membolehkan Peguam Negara melantik TPR Kanan yang layak dan berpengalaman untuk mengendalikan pendakwaan khususnya bagi kes-kes yang kompleks.

Panel itu turut berpendapat, tatacara pelantikan TPR Kanan di bawah Seksyen 376(3) tidak sama dengan tafsiran Seksyen 377 dan Seksyen 379.

Sehubungan itu, panel berkenaan memutuskan, Seksyen 376(3) perlu dibaca secara harmoni bagi mentafsir kelayakan pelantikan individu sebagai TPR Kanan secara terus manakala perkataan `Kanan’ tidak menjadikan pelantikan Sri Ram tidak sah atau terbatal.

Beliau turut menyatakan, Seksyen 376(3) tidak menyatakan bahawa pihak yang layak dan sesuai dilantik mesti dalam kalangan pegawai kehakiman dan perundangan atau pegawai kerajaan.

Oleh yang demikian, panel tersebut berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika menolak semakan kehakiman Najib dan Muhammad Shafee yang mewajarkan campur tangan mahkamah untuk mengubahnya.

Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan itu dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Ogos tahun lalu.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan ketika menolak semakan kehakiman itu berpuashati, Tommy membuat pertimbangan yang teliti sebelum melantik Sri Ram sebagai TPR Kanan mengetuai pendakwaan berkaitan skandal 1MDB.

Najib diwakili oleh Muhammad Shafee manakala beliau pula diwakili oleh Harvinderjit Singh. Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan.

Mahkamah itu pada 23 September lalu antara lain mendengar penghujahan Muhammad Shafee bahawa berdasarkan seksyen itu, Sri Ram yang merupakan seorang peguam, terlebih dahulu perlu dilantik sebagai TPR sebelum dilantik sebagai TPR Kanan.

Ini kerana Seksyen 376(3) yang digunakan oleh Peguam Negara untuk melantik Sri Ram sebagai TPR Kanan, tidak boleh digunapakai kepada peguam sebaliknya seksyen itu dikhususkan untuk pegawai perundangan dan kehakiman.

Hujah beliau, Tommy sepatutnya melantik Sri Ram mengikut Seksyen 376(3) dibaca bersama Seksyen 379 seperti yang dilakukan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika melantiknya (Muhammad Shafee) mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul bagaimanapun berhujah, tafsiran Seksyen 376(3) membawa maksud bahawa Sri Ram telah dianggap sebagai TPR selepas pelantikannya sebagai TPR Kanan.

Hujah beliau, Sri Ram boleh terus dilantik sebagai TPR Kanan kerana kemahiran dan pengetahuannya yang luas dalam perundangan walaupun beliau seorang peguam dan bukan pegawai perundangan.

Najib dan Muhammad Shafee mempunyai satu lagi peluang untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN