LANGKAWI: Pengurus sebuah kedai bebas cukai dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Langkawi di sini atas kesalahan memandu kereta di bawah pengaruh alkohol pada 28 September lalu
Tertuduh, Tan Jwo Han berusia 36 tahun menjadi individu pertama di pulau peranginan ini yang dituduh di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan pindaan 2020.
Tertuduh mengaku bersalah ketika pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Ridzwan Salleh.
Mengikut kertas pertuduhan, Jwo Hann didakwa memandu keretanya dalam keadaan kadar alkohol sebanyak 158 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, iaitu melebihi had yang ditetapkan sebanyak 50 mg bagi setiap 100ml darah.
Dia ditahan melakukan kesalahan itu pada 28 September lalu, pada pukul 11.14 malam di Jalan Padang Matsirat, Kelibang di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, dipenjarakan sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun. -UTUSAN ONLINE