KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah memisahkan dirinya dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
Ahli Parlimen Pekan itu tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan agar jangan mematuhi arahan yang diberikan oleh Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho dalam semua urusan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Berdasarkan pemerhatian saya, hubungan tertuduh (Najib) dan Jho Low adalah sangat-sangat rapat,” kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd. Hazem Abd. Rahman.
Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata demikian sewaktu ditanya pada sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhubung pertemuan `tiga mata’ antara dirinya dengan Jho Low dan bekas Presiden UMNO itu di kediaman Najib yang terletak di Taman Duta di sini pada 28 November 2013.
Terdahulu, saksi tersebut sekali lagi menyatakan bahawa Jho Low adalah `orang Perdana Menteri (Najib)’ dan setiap tindakan yang diambil dibuat atas arahan lelaki tersebut.
Disoal sekali lagi berhubung penyingkiran KPMG Malaysia sebagai juruaudit 1MDB, Mohd. Hazem memberitahu pemecatan firma perakaunan itu adalah disebabkan firma terbabit enggan menandatangani laporan audit dan beliau menerima tekanan termasuk daripada Najib sendiri bagi memastikan laporan tersebut ditandatangani.
“Tekanan daripada Perdana Menteri. Saya terima panggilan daripada Najib sendiri yang mengarahkan adar audit tersebut ditandatangani,”kata lelaki itu.
Ditanya Sri Ram sama ada dia boleh mengingkari arahan Perdana Menteri itu, saksi berkenaan menjawab:”Tidak, sudah tentu tidak boleh.”
KPMG dilantik sebagai juruaudit 1MDB bagi tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012 tetapi telah dipecat pada 2013 selepas enggan menandatangani akaun kewangan 1MDB bagi tahun 2013.
Merujuk kepada soalan pihak pembelaan yang mendakwa Mohd. Hazem bersubahat dengan Jho Low dan beberapa individu lain untuk menyeleweng dana 1MDB, penganggur tersebut menyatakan bahawa beliau tidak menerima sesen pun wang yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara itu mahupun diberikan sebarang imbuhan wang oleh Jho Low.
Sebaliknya, ketika ditunjukkan beberapa dokumen termasuk penyata akaun kepadanya oleh pendakwaan, Mohd. Hazem mengesahkan terdapat kemasukkan wang sebanyak RM49 juta ke dalam akaun bank AmBank atas nama Najib.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok dengan saksi pendakwaan ke-12, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Azmi Tahir. -UTUSAN ONLINE