PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah berkaitan projek solar hidrib yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menghujahkan bahawa Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan sebarang perintah berbentuk deklarasi dalam kes-kes jenayah.
Selain itu, Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam bantahan awalnya menghujahkan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan oleh Rosmah kerana keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 September lalu bukanlah satu keputusan yang muktamad.
“Mana-mana keputusan yang dibuat sewaktu perbicaraan masih berjalan tidak boleh dirayu. Hak pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan hanya boleh digunakan selepas perbicaraan penuh dijalankan iaitu selepas seseorang itu disabitkan dengan kesalahan, dibebaskan daripada pertuduhan atau selepas pertuduhan digugurkan atas alasan cacat,”kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu.
Sehubungan itu, rayuan yang dikemukakan wanita terbabit berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah itu dan menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes terbabit wajar ditolak.
Bagaimanapun, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bangkit dan membantah hujah berhubung bidang kuasa mahkamah jenayah mengeluarkan perintah berbentuk deklarasi adalah satu perkara yang baharu ditimbulkan hari ini dan sesuatu yang difikirkan kemudian.
Sri Ram kemudian memberitahu mahkamah bahawa isu berhubung bidang kuasa boleh ditimbulkan pada bila-bila masa pada mana-mana peringkat dan memohon agar pendengaran rayuan hari ini ditangguhkan ke satu masa yang akan ditentukan kemudian bagi membolehkan pihak-pihak memfailkan hujahan lanjutan.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah kemudian memerintahkan agar kedua-dua belah pihak untuk memfailkan hujahan bertulis.
“Pada pandangan kami, isu bidang kuasa adalah kritikal dan mempunyai implikasi terhadap merit rayuan ini. Oleh itu, mahkamah membenarkan penangguhan bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan lanjut hanya bagi isu sama ada mahkamah jenayah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah berbentuk deklarasi,”katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 November ini untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing.
Rosmah memfailkan rayuan tersebut selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk membatalkan keseluruhan perbicaraannya serta menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama.
Rosmah kini dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.
Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. -UTUSAN ONLINE