IPOH: Tiada keperluan untuk polis membuka kertas siasatan di bawah orang hilang melibatkan kes anak gadis seorang guru tadika, M. Indira Ghandi dan bekas suaminya, 12 tahun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan berkaitan kes berkenaan sudah dijalankan dan pihaknya kini masih meneruskan usaha mengesan kedua-dua individu terlibat.
“Siasatan telahpun dibuat sebelum ini ke atas kejadian itu, jadi, saya tidak nampak ada keperluan untuk membuka kes sebagai orang hilang.
“Kita sekarang pun dalam usaha mengesan bekas suami dan anaknya yang dilaporkan hilang itu,” katanya dalam sidang akhbar Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) Tahun 2021 di AEON Kinta City, di sini, hari ini.
Menurut Mior Faridalathrash, polis mendapat makluman daripada laporan media bahawa wanita berkenaan meminta agar kes tersebut diklasifikasikan semula sebagai orang hilang.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum menerima laporan baru berkaitan kehilangan anaknya itu.
“Setakat ini belum ada lagi, tetapi saya ada baca berita di portal dan akhbar yang dia minta polis klasifikasikan semula kes itu sebagai orang hilang,” katanya.
Minggu lalu, Indira Ghandi dalam satu sidang akhbar meminta polis untuk mengklasifikasikan semula kes anaknya sebagai kes orang hilang kerana anaknya gagal dikesan sejak 2010.
Indira sebelum ini telah membuat dua laporan polis pada September 2019 dan April 2020 di Putrajaya supaya kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang. – UTUSAN ONLINE