Kerajaan gagal lucut hak barangan berharga milik Najib, Rosmah, 3 anak dan pihak lain - Utusan Malaysia

Kerajaan gagal lucut hak barangan berharga milik Najib, Rosmah, 3 anak dan pihak lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak dibenar melucuthak barangan berharga milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan lima pihak lain yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Harta-harta yang dirampas oleh pihak polis di antara 17 Mei 2018 dan 11 Mac 2019 itu termasuk beg tangan berjenama, wang tunai dalam pelbagai mata wang, jam tangan, kasut dan 27 kenderaan.

Demikian keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini ketika menolak permohonan kerajaan atas alasan pihak pendakwaan gagal membuktikan harta yang disita mempunyai kaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berpuas hati tiada bukti menunjukkan harta yang dirampas daripada Najib, Rosmah, anak mereka iaitu Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), Nor Ashman dan Nooryana Najwa, dibeli menggunakan wang dalam akaun bank bekas Perdana Menteri.

Beliau berkata, andaian pihak pendakwaan bahawa wang tunai dan hartanah berkenaan boleh diperoleh daripada wang yang didepositkan dalam akaun bank Najib, adalah anggapan semata-mata.

Pada hemat hakim itu, pendakwaan hanya menyenaraikan harta yang disita dan nilainya, seterusnya membuat kesimpulan bahawa responden-responden tidak mempunyai wang tunai yang begitu banyak untuk membeli hartanah berdasarkan pendapatan mereka.

Tambah hakim itu, terdapat kekurangan bukti untuk menunjukkan kaitan langsung antara wang yang didakwa diperoleh secara haram dengan wang tunai yang ditemui serta hartanah yang dibeli.

Ujar beliau, keterangan pegawai penyiasat berhubung pergerakan keluar masuk wang daripada akaun Najib adalah tidak mencukupi bagi menyokong permohonan pendakwaan.

Dalam pada itu, mahkamah turut menolak permohonan kerajaan untuk melucuthak wang yang disimpan dalam tiga akaun bank Hong Leong dan banglo RM15 juta di Pulau Pinang milik Goh Gaik Ewe iaitu ibu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Permohonan untuk melucthak harta empat pihak lain ialah Senijauhar Sdn. Bhd., Aiman Ruslan, bekas pegawai Goldman Sachs Ng Chong Hwa (Roger Ng) dan isterinya, Lim Hwee Bin, turut ditolak.

Hakim Mohamed Zaini berpuas hati, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa akaun bank itu telah digunakan untuk melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Pada masa yang sama, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk melucuthak aset daripada lapan responden lain iaitu lima daripadanya tidak membantah permohonan tersebut manakala tiga yang lain telah melarikan diri.

Pihak-pihak itu terdiri daripada Mohd. Kyizzad Mesran, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn. Bhd., Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Terence Geh Choh Hun.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd. Jeffrey Ong memaklumkan, pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan meminta penangguhan perintah untuk memulangkan wang kepada responden.

Bagaimanapun, Zaini berkata mahkamah tidak akan membuat sebarang perintah penangguhan.

“Sekiranya permohonan pelucuthakan itu ditolak, ia adalah perkembangan semula jadi bahawa pihak pendakwaan harus mengembalikannya (harta kepada responden),” kata hakim itu.

Pada 8 Mei 2019, kerajaan selaku pemohon memfailkan notis pelucuthakan berhubung beratus-ratus item termasuk beg tangan berjenama dan 27 kenderaan yang dirampas.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 56(1) dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah atas alasan bahawa pendakwaan berpuas hati kesemua item yang dirampas mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan atau sebagai hasil aktiviti haram. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN