Janda anak lima, seorang pati berdepan hukuman gantung - Utusan Malaysia

Janda anak lima, seorang pati berdepan hukuman gantung

RUPIEH Johari (kiri) dan Irwanda Saputra berdepan hukuman mati selepas dituduh mengedar 56 kilogram dadah jenis amphetamine dan methaphetamin di Mahkamah Majistret Klang, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan sebutan semula kes edar dadah melibatkan wanita Orang Asli warga tempatan yang merupakan janda anak lima dan seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) pada 11 Januari depan.

Majistret, Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin menetapkan tarikh tersebut bagi sebutan semula selepas laporan Jabatan Kimia diperoleh pada 9 Januari.

Tertuduh, Rupieh Johari, 38 dan Irwanda Saputra, 23, berdepan hukuman gantung selepas dihadapkan ke mahkamah pada Jun lalu atas dua pertuduhan kerana mengedar 56 kilogram (kg) dadah ketika cuba keluar dari negara ini pada 30 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, kedua-dua tertuduh menaiki sebuah bot tidak bernombor pendaftaran bersama seorang lagi lelaki orang asli, Johari Mat, 70, yang meninggal dunia selepas bot dinaikinya bertembung dengan bot Maritim Malaysia ketika dalam perjalanan memasuki perairan Pulau Ketam.

Dalam pertuduhan pertama, kedua-dua suspek ketika berada bersama si mati didakwa mengedar dadah jenis amphetamine (pil ekstasi) seberat 25 kg, sementara pertuduhan kedua pula tertuduh didakwa mengedar 31 kg methaphetamine (syabu).

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan dekat perairan kira-kira 1.6 batu nautika dari Tanjung Bakau di Kapar, Klang di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca sekali bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, ibu kepada anak berusia 11 hingga 21 tahun serta lelaki warga Indonesia itu boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup berserta sebatan tidak kurang 15 kali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Sabrina Mod Nazri sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam, K. P. Quek.

31 Mei lalu Utusan Malaysia melaporkan adegan kejar mengejar berlaku membabitkan dua bot milik suspek dan Maritim Malaysia sebelum bertembung di 3.4 batu nautika barat daya di Sungai Kapar di sini dalam Operasi (Ops) Belangkas.

Aksi tersebut berlaku selepas seorang anggota Maritim Malaysia berjaya melompat ke dalam bot sebelum suspek bertindak memecut. Namun dalam masa sama lelaki warga asing itu dilaporkan memukul anggota penguatkuasa dengan sauh sehingga terkena pada bahu dan rusuk kiri.

Susulan kejadian itu, anggota berkenaan melepaskan satu das tembakan dan terkena pada pendikit bot suspek menyebabkan bot terbabit semakin perlahan sebelum bertembung dengan bot Maritim Malaysia.

Pertembungan itu mengakibatkan bot suspek rosak teruk dan tenggelam sehingga menyebabkan empat guni berisi dadah bernilai RM3.33 juta ditemui di lokasi kejadian. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya