Guan Eng gagal pindahkan kes - Utusan Malaysia

Guan Eng gagal pindahkan kes

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng perlu menerima hakikat bahawa kes rasuah beliau berkaitan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu akan kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sehingga selesai.

Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Nor Bee Ariffin dan bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah di sini hari ini sebulat suara menolak rayuan bekas Menteri Kewangan itu untuk memindahkan kes yang sedang dibicarakan di hadapan Hakim Azura Alwi ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perbicaraan tersebut telah bermula sejak 31 Julai lalu dan ketika ini, saksi pendakwaan ke-11, bekas Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, Datuk Faiza Zulkifli sedang memberi keterangan. Perbicaraan akan bersambung 29 November ini.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Guan Eng diwakili barisan peguam yang diketuai Gobind Singh Deo.

Terdahulu, ketika membacakan penghakiman ringkas, Hakim Che Mohd. Ruzima menyatakan, Guan Eng selaku perayu sendiri tidak pernah mempertikaikan kewibawaan Hakim Mahkamah Sesyen untuk mendengar dan membuat keputusan perbicaraan tersebut.

Selain itu, persoalan-persoalan perundangan yang ditimbulkan oleh perayu tidak tergolong dalam undang-undang luar biasa dan tidak pernah diputuskan oleh mana-mana mahkamah sebelum ini.

Panel terbabit turut menyatakan mereka dapati, tiada sebarang kekhilafan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi sewaktu menolak rayuan Guan Eng atas alasan Ahli Parlimen Bagan itu gagal memenuhi peruntukkan mengikut Seksyen 417(1)(d) Kanun Tatacara Jenayah.

“Kesimpulannya, perayu gagal melepasi ambang beberapa peruntukkan Seksyen 417(1)(b) dan (e) Kanun Tatacara Jenayah. Kami berpandangan tindakan perayu menggunakan Seksyen 417 sebagai landasan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi tidak wajar dibenarkan. 

“Oleh itu, rayuan perayu sebulat suara ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,”kata Hakim Che Mohd. Ruzima.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 61, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu  berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara pukul 12.30 pagi hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga  20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN