Dana 1MDB yang diseleweng beri faedah kepada Jho Low - saksi - Utusan Malaysia

Dana 1MDB yang diseleweng beri faedah kepada Jho Low – saksi

NAJIB Tun Razak (kanan) berjalan keluar selepas hadir perbicaraan kes dihadapinya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sebilangan besar dana syarikat itu telah diseleweng dan disalurkan kepada beberapa entiti yang memberi faedah kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low).

Mohd. Hazem Abdul Rahman, 49, berkata, berdasarkan dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah, salah urus tadbir tersebut telah menjerumuskan 1MDB kepada tanggungan liabiliti kewangan yang tidak perlu.

Ketika ditanya peguam Wan Aizuddin Wan Mohammad, saksi pendakwaan ke-10 itu menyatakan kegagalan urus tadbir ketika beliau berjawatan CEO, pada satu peringkat tertentu telah menghancurkan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, Mohd. Hazem menyatakan, beliau menerima arahan secara tetap daripada Jho Low namun sama ada arahan itu diberikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, hanya boleh disahkan oleh ahli perniagaan itu yang kini dalam buruan.

Semalam, mahkamah diberitahu, pengurusan 1MDB mendapat arahan daripada Jho Low yang disifatkan oleh pihak pendakwaan sebagai alter ego kepada Najib.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Mohd. Hazem yang mengakhiri sesi soal balas hari ini selepas lebih daripada tiga minggu, turut diasak secara bertubi-tubi oleh pihak pembelaan yang antara lain menuduh beliau seorang penipu di mahkamah demi menyelamatkan dirinya daripada didakwa atau disaman.

Seorang lagi peguam Najib, Mardhiyah Siraj mendakwa saksi itu seorang pembohong kerana sepanjang keterangannya, beliau hanya mengingati perkara yang mengaitkan Najib dengan Jho Low dan perkara yang melibatkan dirinya, beliau akan menafikannya atau tidak bersetuju.

Mohd. Hazem akan disoal pada pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan pada Isnin depan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok bagi mendengar keterangan saksi baharu, bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN