Bon RM10 juta: Zuraida gagal batal saman PKR - Utusan Malaysia

Bon RM10 juta: Zuraida gagal batal saman PKR

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin gagal membatalkan saman parti itu yang menuntut ganti rugi RM10 juta kerana keluar parti selepas menggunakan nama dan logo parti ketika bertanding dan menerima faedah atas kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar dalam penghakiman ringkasnya menyatakan, kedua-dua pihak perlu hadir ke Mahkamah serta menjelaskan tujuan bon yang mengikat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu dengan PKR.

“Dalam tuntutan ini, Mahkamah berpendapat bahawa terdapatnya perkara yang boleh dibicarakan dalam tuntutan  dan terdapat kausa tindakan yang jelas terhadap defendan (Zuraida). Isu berkaitan bon yang ditandatangani pada 25 April 2018 perlu dijelaskan melalui perbicaraan penuh.

“Defendan perlu memberi keterangan kenapa beliau menandatangani bon tersebut, apakah tujuannya dan sama ada terdapatnya syarat-syarat tersirat dan terdapat keperluan keterangan saksi-saksi kedua-dua pihak untuk menjelaskan tujuan Bon tersebut dilaksanakan,”ujar hakim itu pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Pada prosiding tersebut, peguam Chiew Choon Man yang mewakili Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti hadir manakala Zuraida diwakili peguam, Muhammad Nizamuddin Hamid.

Muhammad Nizamuddin ketika dihubungi media memberitahu pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Menurut saman yang difailkan pada 28 September 2020, PKR mendakwa Zuraida telah menandatangani suatu bon pada 25 April 2018, yang mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta, berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

Jumlah tersebut adalah nilai pampasan yang perlu dibayar oleh mereka yang bertindak keluar parti atas penggunaan nama, logo dan benda serta perkhidmatan dan sokongan yang diberikan oleh PKR sewaktu bertanding.

Bagaimanapun, pada 24 Februari 2020, Zuraida yang dinamakan sebagai defendan tunggal bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan dari parti itu tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen bahagian Ampang dan kemudian membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) dengan parti-parti pembangkang BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan yang lain.

Sehubungan itu, plaintif mendakwa defendan telah melanggar bon yang telah ditandatangani dan berdasarkan peruntukan Seksyen 71 Akta Kontrak 1950, PKR mempunyai hak untuk mendapatkan kesemua faedah yang dinikmati atau akan dinikmati oleh Zuraida setelah menjadi Ahli Parlimen Ampang.

Selain RM10 juta terbabit, PKR turut menuntut RM2,049,459.20 iaitu faedah yang diterima Zuraida sejak menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Ahli Parlimen Ampang.

Turut dimohon ialah faedah sebanyak lima peratus setahun atas jumlah ganti rugi yang dibenarkan oleh Mahkamah sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.

Sementara itu, Zuraida dalam satu kenyataan menyifatkan saman tersebut adalah remeh dan membazirkan masa mahkamah. Beliau juga mendakwa tidak bertindak keluar parti sebalik telah dipecat. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN