Ah long ugut bapa pemimpin MCA dijel lima bulan - Utusan Malaysia

Ah long ugut bapa pemimpin MCA dijel lima bulan

TENG Chee Sing (dua dari kanan) di hukum penjara lima bulan setelah didapati bersalah menggugut bapa kepada Timbalan MCA Kulai di Mahkamah Majistret Kulai disini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Dalang ah long dipenjara lima bulan di Mahkamah Majistret Kulai, di sini hari ini setelah didapati bersalah mengugut bapa kepada Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia dengan niat membakar rumahnya di Taman Putri Kulai, 21 September lalu. 

Tertuduh, Teng Chee Sing, 34, dijatuhi hukuman itu bermula tarikh tangkapan selepas membuat pengakuan salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu telah melakukan perbuatan tersebut melalui panggilan telefon dengan mengugut mangsa berusia 58 tahun untuk membakar rumahnya menggunakan nombor telefon dirahsiakan (private number).

Perbuatan mengugut warga emas itu dilakukan di hadapan sebuah bank Indahpura Kulai pada pukul 12.46 tengah hari, 21 September lalu. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu dihukum penjara selama tempoh dua tahun serta hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 kanun sama iaitu penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara selama lima bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkapan pada 31 Oktober lalu. 

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Edlynn Wong dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman, Hidayah Asri. 

Semalam, akhbar melaporkan lelaki berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 2.45 petang di Taman Abad, di sini pada 31 Oktober lalu. 

Suspek ditahan kerana mengugut bapa kepada Chua Jian Boon yang juga Timbalan Pengerusi MCA Kulai bulan lalu yang aktif memerangi kegiatan ah long di daerah ini. 

Kediaman Jian Boon di Jalan Sri Putri 1/8, Taman Putri Kulai dan dua keretanya turut disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali dalam satu kejadian pada pukul 11.15 malam, pada 7 Oktober lalu. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN