2 lelaki mengaku salah tipu tuntutan insurans setengah juta - Utusan Malaysia

2 lelaki mengaku salah tipu tuntutan insurans setengah juta

MUHAMMAD Akmal Aliff Omar, 29, (baju putih) dan Muhamad Rizal Ahmad, 34, (baju merah) mengaku bersalah atas pertuduhan menipu tuntutan insurans sebanyak RM500,000 di Mahkamah Majistret Munisipal, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Munisipal di sini hari ini, atas pertuduhan menipu tuntutan insurans sebanyak RM500,000 pada April 2019. 

Tertuduh, Muhammad Akmal Aliff Omar, 29, dan Muhamad Rizal Ahmad, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Butterworth, Nigel Jirin. 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama menipu syarikat The Pacific Insurance Bhd. yang mendorong syarikat itu untuk membuat bayaran tuntutan insurans sebanyak RM500,000 atas tuntutan kemalangan yang tidak wujud. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 April 2019 di The Pacific Insurance Bhd., 40-01, Q Sentral, 2A, Jalan Stesen Sentral 2, Kuala Lumpur. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 417 atau Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34 kanun sama. 

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala Muhammad Akmal Aliff dan Muhamad Rizal tidak diwakili peguam. 

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM3,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 8 November ini. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN