Ahmad Zahid dibenarkan ke Jerman - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid dibenarkan ke Jerman

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibenarkan ke Jerman bagi mendapatkan rawatan selepas Mahkamah Tinggi di sini petang tadi membenarkan permohonannya untuk mendapatkan pasport beliau.

Bagaimanapun, berbeza dengan keputusan di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang turut membenarkan permohonan serupa, mahkamah di sini meletakkan syarat tambahan. 

“Penjamin sedia ada akan pergi dengan pemohon (Ahmad Zahid) ke Jerman bukan? Jadi, boleh sediakan seorang lagi penjamin yang akan berada di sini (Malaysia) sepanjang tempoh itu?” ujar Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Peguam bela, Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya tidak mempunyai masalah dengan syarat tambahan tersebut malah memberitahu penjamin tambahan terbabit hadir pada prosiding hari ini.

“Penjamin tambahan adalah rakan kepada pemohon yang telah berada dengannya sejak hari pertama anak guam didakwa. Beliau seorang ahli perniagaan,” kata peguam itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun sekali lagi memaklumkan pihaknya tidak mengemukakan bantahan dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dikenakan mahkamah.

Hakim Sequerah kemudian membenarkan permohonan tersebut.

“Untuk lebih jelas, kebenaran adalah untun membolehkan pemohon mendapatkan rawatan dan hanya di Jerman sahaja,” katanya.

Pasport tersebut akan diserahkan pada 26 Oktober ini dan perlu dikembalikan ke mahkamah pada 21 November 2021.

Jumaat lalu, pembelaan membuat permohonan bagi mendapatkan pasport tersebut membolehkan Ahmad Zahid mendapatkan rawatan bagi sakit belakang dan lehernya.

Menurut permohonan tersebut, rawatan yang diterima di negara ini tidak mampu mengurangkan kesakitan yang ditanggung bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ogos lalu, Ahmad Zahid pernah dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan intervensi sakit akibat tergelincir dan jatuh terduduk di bilik mandi di rumahnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya