KUALA LUMPUR: Selepas hampir tujuh bulan didakwa atas 24 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram serta rasuah, hari ini seorang bekas pengurus hartanah syarikat minyak dan gas didakwa pula di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam lagi dakwaan juga melibatkan tuduhan menerima suapan.
Pada prosiding hari ini, Len Chia Whey didakwa secara rasuah telah menerima rasuah berjumlah RM300,000 daripada seorang pemilik sebuah syarikat berkaitan dengan pengurusan dan pembinaan stesen minyak.
Suapan tersebut adalah upah membantu syarikat terbabit mendapatkan kontrak ‘Construct the Petrol Station (Together with the Commercial Outlet and Ancillary Facilities) on Turnkey Basis, Full Underground Tank and Fuel Replacement dan PDKR of Shell SS6 Station Hacking and Reconstruction of Co. di Kelana Jaya, Petaling Jaya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara 3 April hingga 29 Ogos 2018 di pusat belah-beli belah Bangsar Village 2, Jalan Telawi, Bangsar Baru, di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut subseksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide manakala tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Gooi Soon Seng dan Ooi Pen Lyn.
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan pembelaan agar jaminan RM100,000 yang dikenakan terhadap Chia Whey sebelum ini digunapakai dalam kes hari ini.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM di Putrajaya sebulan sekali sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 November ini.
Pada 15 Mac lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Chia Whey mengaku tidak bersalah terhadap 13 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dan menerima rasuah berjumlah RM990,579.
Turut didakwa pada prosiding sama ialah isterinya Tong Karen, 36, yang menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang bernilai RM188,000.
Pada 16 Mac pula, Chia Whey didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 11 pertuduhan rasuah melibatkan wang berjumlah RM2.6 juta berhubung projek pembinaan empat buah stesen minyak di Selangor, Melaka dan Johor. -UTUSAN ONLINE