Pelakon lelaki, pengarah dan penolong pengarah positif dadah direman -

Pelakon lelaki, pengarah dan penolong pengarah positif dadah direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Pelakon lelaki yang diberkas setelah didapati positif dadah jenis THC dalam serbuan di sebuah rumah di Chandan Putri di sini semalam, direman sehingga esok.

Perintah reman bermula hari ini yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Kangsar itu turut membabitkan seorang pengarah dan penolong pengarah.

Omar Bakhtiar Yaacob

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, tiga lelaki berusia 28 hingga 48 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah inap desa pada pukul 7.15 pagi.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menjumpai dadah jenis kanabis seberat 1.45 gram pada pelakon dan pengarah tersebut.

“Pemeriksaan di bilik penolong pengarah pula menjumpai di atas lantai dadah jenis methamphetamine seberat 0.38 gram.

“Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM270,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, semakan ke atas rekod lampau kesemua suspek mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod bersabit kes dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati pelakon dan pengarah positif dadah jenis THC manakala penolong pengarah pula positif methamphetamine.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Difahamkan, kesemua mereka berada di Kuala Kangsar untuk menjalani pengambaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN