Pegawai farmasi didakwa pukul isteri, ugut untuk jerut leher anak dengan wayar - Utusan Malaysia

Pegawai farmasi didakwa pukul isteri, ugut untuk jerut leher anak dengan wayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Seorang pegawai farmasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan antaranya memukul belakang badan isterinya serta mengugut untuk menjerut leher anak mereka dengan wayar, bulan lalu.

Loh Chuan Tuck, 32, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas Chan Ket Yee, 40, untuk menjerut leher anak-anak mereka dengan tali wayar.

Tuduhan kedua, bapa kepada dua orang anak itu didakwa melakukan khianat dengan cara merosakkan sebuah telefon bimbit milik isterinya di sebuah rumah di Bandar Country Homes, Rawang di sini pada pukul 10.30 malam, 27 September lalu.

Bagi tuduhan mengugut, dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tuduhan khianat pula dikemukakan mengikut Seksyen 426 Kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Pegawai farmasi itu turut didakwa menyebabkan cedera dengan memukul belakang badan isterinya pada tempat, masa dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan jaminan berjumlah RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin manakala peguam Cyrill Clade Agus yang mewakili Chuan Tuck memohon jaminan dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Januari tahun depan untuk sebutan kes. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya