Dua kakitangan bank didakwa terima rasuah berjumlah RM59,250 - Utusan Malaysia

Dua kakitangan bank didakwa terima rasuah berjumlah RM59,250

AHMAD SALAHUDIN (kanan) dan Yusni Yusof (kiri) mengaku tidak bersalah menerima rasuah berjumlah RM59,250 di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua kakitangan bank di Presint 15, Putrajaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM59,250 bagi membantu dalam proses permohonan pembiayaan peribadi, dua tahun lalu.

 

Kedua-dua tertuduh, Ahmad Salahudin Abu Bakar, 42, dan Yusni Yusof, 45, masing-masing membuat pengakuan itu selepas kesemua lima pertuduhan utama dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

 

Kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap lima lagi pertuduhan pilihan yang dikenakan terhadap mereka.

 

Berdasarkan lima pertuduhan utama, Ahmad Salahudin yang bertugas sebagai Ketua Unit Pembiayaan di bank terbabit didakwa telah menerima rasuah berjumlah RM31,100 melalui akaun CIMB milik syarikatnya iaitu ASAB Trading & Services sebagai dorongan untuk membantu dalam proses permohonan peribadi bank enam individu.

 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Kajang antara 6 September 2019 hingga 1 November 2019.

 

Bagi pertuduhan pilihan, Ahmad Salahudin didakwa sebagai seorang penjawat awam telah menerima wang berjumlah RM31,100 melalui transaksi atas talian ke akaun milik syarikatnya, ASAB Trading & Services dengan tiada balasan yang mempunyai perhubungan dengan tugas-tugas rasmi di bank sama di lokasi dan tarikh yang sama.

 

Yusni yang bertugas sebagai Kerani Tingkatan Khas di cawangan yang sama didakwa telah menerima rasuah berjumlah RM28,150 melalui akaun Hong Leong Bank sebagai dorongan untuk membantu dalam proses permohonan peribadi bank bagi enam individu.

 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Hong Leong Bank, Kampung Baru Seri Kembangan antara 6 September 2019 hingga 1 November 2019.

 

Bagi pertuduhan pilihan, Yusni didakwa sebagai penjawat awam telah menerima wang berjumlah RM28,150 melalui transaksi atas talian yang diketahui mempunyai perhubungan dengan tugas-tugas rasmi di bank itu bagi permohonan pembiayaan peribadi di lokasi dan tarikh yang sama.

 

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

 

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

 

Bagi pertuduhan pilihan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

 

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Noryusriza Zulkifli mencadangkan jaminan masing-masing sebanyak RM20,000 terhadap setiap tertuduh selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada 1 hari bulan setiap bulan serta tidak mengganggu atau menghubungi saksi.

 

Bagaimanapun, peguam bela, Muhammad Shafiq Shamsudin merayu jumlah jaminan lebih rendah memandangkan anak-anak guamnya telah memberikan kerjasama sejak ditahan pada 9 Jun lalu.

 

Muhammad Shafiq turut memaklumkan mahkamah bahawa anak-anak guamnya sebelum ini turut dibebaskan dengan bon jaminan SPRM sebanyak RM10,000 selain telah melapor diri seperti tarikh-tarikh yang ditetapkan. 

 

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 terhadap Ahmad Salahudin dan Yusni (RM13,000) dengan seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

 

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 16 November hadapan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya