Bekas peniaga warung kekal digantung bunuh pengutip besi buruk - Utusan Malaysia

Bekas peniaga warung kekal digantung bunuh pengutip besi buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas peniaga warung atas kesalahan membunuh seorang pengutip besi buruk, di Kerteh, Terengganu, enam tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof selepas menolak rayuan akhir Mohamad Zulkifli Ismail, 56.

Mahkamah berpuas hati bahawa dapatan hakim bicara bergantung kepada keterangan ikut keadaan yang relevan manakala alasan penghakiman yang dikemukakan lengkap serta teliti.

Panel berkenaan berpendapat, hakim bicara tidak tersalah arah daripada segi undang-undang dan fakta ketika mencapai dapatan kes. Oleh yang demikian sabitan adalah selamat untuk dikekalkan.

Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan akhir Mohamad Zulkifli selepas berpuas hati isu yang dibangkitkan oleh para peguamnya tiada merit.

Mohamad Zulkifli dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Mei 2018 kerana membunuh Zulkefle Abdullah, 37, di sebuah rumah di Kampung Labohan pada jam 10.30 pagi, 7 Disember 2015.

Lelaki itu turut dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana menyebabkan kecederaan parah ke atas rakan mangsa, Faizul Awang, 35, yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU). Sabitan dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan tidak meneruskan rayuan Mohamad Zulkifli terhadap sabitan dan hukuman mencederakan Faizul di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, Mohamad Zulkifli secara tiba-tiba datang dari arah belakang dan menikam Faizul sebelum meluru ke arah Zulkefle dan menikamnya di dada kanan menggunakan parang.

Ketika itu, kedua-dua mangsa sedang mencari besi buruk dan berhenti di tempat kejadian selepas melihat terdapat besi buruk di kawasan tersebut.

Dalam pembelaannya, Mohamad Zulkifli mendakwa kedua-dua mangsa telah menceroboh kawasan rumahnya untuk mencuri batang besi.

Perayu diwakili oleh peguam-peguam Ariff Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Nur’ain Shahiera Khalid manakala Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah mewakili pihak pendakwaan.

Terdahulu, Ariff Azami berhujah, hakim bicara terkhilaf kerana gagal mempertimbang bahawa tikaman tunggal pada dada kanan lelaki itu bukan dilakukan dengan sepenuh kekuatan manakala senjata tidak ditinggalkan terus pada dada mangsa.

Hujah pembelaan, hakim bicara gagal menilai bahawa perayu tiada niat membunuh mangsa dan hanya bermaksud mendatangkan kecederaan terhadapnya.

Menurut Ariff Azami, jika perayu berniat membunuh lelaki itu, sudah pasti tikaman adalah lebih dalam atau anak guamnya menikam organ penting seperti dada sebelah kiri (jantung) atau perut.

Pada peringkat itu, Hakim Abdul Rahman mencelah dengan menyatakan keterangan pakar patologi menyatakan luka sedalam 10 sentimeter (cm) adalah memadai untuk menyebabkan kecederaan tubuh mangsa kerana tikaman itu menyebabkan salur darahnya terputus.

Nahra pula berhujah, perayu mengetahui parang yang digunakannya boleh menyebabkan kematian tanpa perlu mengetahui anatomi badan mangsa.

Pendakwaan memohon rayuan itu ditolak atas alasan isu yang dikemukakan tiada merit.

Kes pembunuhan itu mendapat perhatian ramai ekoran tular di media sosial yang mendakwa Mohamad Zulkifli melakukan perbuatan tersebut kerana mempertahankan diri daripada kedua-dua mangsa yang cuba merompaknya.

Kejadian tersebut membawa kepada penubuhan kumpulan ‘Selamatkan Zulkifli’ di laman sosial Facebook yang mencecah 71,000 followers dengan menyiarkan pelbagai kenyataan negatif yang mempertikai kuasa polis yang menangkap perayu selepas kejadian. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN