Apa bos nak, bos dapat - Pendakwaan - Utusan Malaysia

Apa bos nak, bos dapat – Pendakwaan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan pemegang amanah dalam Yayasan Akalbudi mempunyai kuasa dan kawalan penuh dalam badan tersebut.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, tidak cukup dengan itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga membuat segala keputusan dan menentukan `siapa yang kekal, siapa yang pergi’ dari Yayasan itu.

Jelasnya, penguasaan dan kawalan Ahmad Zahid dalam Yayasan Akalbudi apabila beliau dilantik pengarah bersama-sama Mohd. Samsuri Tun (saksi pendakwaan keempat – SP4) dan Profesor Dr. Zulkifli Senteri (saksi pendakwaan ketujuh – SP7) berkuat kuasa 18 Mac 1997. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga merupakan antara pemegang amanah pertama badan itu.

“Dari segi pengurusan kewangan yayasan, tertuduh dan dua lagi individu itu merupakan penandatangan rasmi yayasan. Ini menunjukkan bahawa Yayasan telah mengamanahkan aset kepada mereka,”kata Raja Rozela.

Bagaimanapun, pada 4 April 2012, Mohd. Samsuri telah mengemukakan surat letak jawatan selepas mendapat notis kebankrapan dan kebetulannya, Zulkifli juga telah meletakkan jawatan pada hari sama.

“Menurut keterangan Zulkifli, beliau telah diminta untuk untuk meletakkan jawatan tanpa sebarang alasan diberikan. SP7 menyatakan pemandu tertuduh telah datang ke rumahnya atas arahan Ahmad Zahid dengan surat perletakan jawatan yang telah disediakan lebih awal untuk ditandatanginya.

“Muhammad Nabil Saleh yang merupakan bekas setiausaha bahagian Bagan Datuk dan pegawai khas Ahmad Zahid dan Adun Kawasan Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi kemudian dilantik oleh tertuduh untuk menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah (BOT) namun telah dibiarkan dalam kesamaran berhubung operasi yayasan.

“Walaupun menjadi pemegang amanah, namun tertuduh adalah bos dan masih bos mereka. Jadi adalah tidak keterlaluan apabila dikatakan, apa bos hendak, bos akan dapat,”ujar Raja Rozela.

Tambahnya, barisan pembelaan dalam soal jawab bertanya kenapa tidak mengemukakan sebarang bantahan mengenai pengeluaran cek atau pembinaan masjid dan sebagainya, Raja Rozela menghujahkan, tiada mesyuarat BOT diadakan bagi membolehkan sebarang bantahan atau pandangan dibuat.

“Macam mana hendak bantah jika tiada mesyuarat? Tiada pemegang amanah diberi peluang untuk bersuara,”kata pendakwa raya itu.

Timbalan Pendakwa Raya itu menghujahkan demikian di akhir kes pendakwaan Ahmad Zahid, 69, yang dituduh atas 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Terdahulu, Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya bagi menjalani rawatan bagi sakit belakang dan leher yang dialaminya bermula 26 Oktober ini sebelum mengembalikannya pada 21 November 2021.

Bagaimanapun, mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu Ahmad Zahid perlu mencari seorang penjamin tambahan yang akan berada di negara ini sepanjang beliau mendapatkan rawatan di Jerman.

Peguam, Hamidi Mohd. Noh memaklumkan rakan Ahmad Zahid, yang juga seorang ahli perniagaan telah bersetuju untuk menjadi penjamin tambahan tersebut.

Pendengaran hujah bersambung esok. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya