Yayasan Akalbudi tidak alami kerugian, pinjaman pelaburan RM10 juta telah dibayar balik - Peguam - Utusan Malaysia

Yayasan Akalbudi tidak alami kerugian, pinjaman pelaburan RM10 juta telah dibayar balik – Peguam

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak melakukan kesalahan pecah amanah seperti dalam pertuduhan kerana wang RM10 juta milik Yayasan Akalbudi berfungsi sebagai pinjaman pelaburan kepada Armada Holdings Sdn. Bhd.

Wang itu merupakan pinjaman bagi membolehkan syarikat tersebut mendapatkan tender daripada TNB Fuel Services Sdn. Bhd. sebagai pembekal arang batu dari Indonesia.

Peguam Hamidi Mohd. Noh berhujah, Yayasan Akalbudi tidak mengalami sebarang kerugian kerana wang RM10 juta telah dipulangkan oleh syarikat itu beserta faedah hampir RM70,000 yang dijelaskan melalui dua keping cek.

Hujah beliau, keterangan itu diperolehi daripada saksi pendakwaan ke-21, Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr Ahmad yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Armada Holdings.

Wasi Khan dalam keterangannya menyatakan, pada 2015 syarikatnya memerlukan modal berbayar RM10 juta sebagai memenuhi syarat minimum untuk mendaftar kepada TNB Fuel Services Sdn. Bhd. sebagai pembekal arang batu dari Indonesia.

Bagaimanapun, Armada Holdings tidak mempunyai wang sebanyak itu dan Wasi Khan meminta pertolongan beberapa kenalan termasuk Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K yang kemudian mengatur pertemuan mereka dan Ahmad Zahid.

Namun demikian, pihak pembelaan menghujahkan, pendakwaan tidak memanggil Datuk K memberi keterangan sedangkan ahli perniagaan itu melakukan beberapa pertemuan dengan Wasi Khan berhubung wang RM10 juta itu.

Hamidi selanjutnya berhujah, berkaitan pertuduhan pecah amanah wang Yayasan Akalbudi sebanyak RM1.3 juta, pendakwaan menyatakan wang itu merupakan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia bertujuan membayar gaji pemain bola sepak yang tertunggak dan urusan pentadbiran persatuan.

Hujahnya, Ahmad Zahid tidak melakukan pecah amanah kerana pemegang-pemegang amanah dalam Yayasan Akalbudi mengetahui sumbangan tersebut dan tidak mengemukakan bantahan berhubung pengeluaran wang daripada akaun yayasan.

Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tanpa memanggilnya membela diri kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Mahkamah mendengar penghujahan pembelaan pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN