KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tindakan polis merampas dokumen pada Julai 2015 didakwa telah menyukarkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membekalkan dokumen untuk diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
Perkara itu dimaklumkan saksi pendakwaan ketujuh, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad yang merupakan bekas Juruaudit Jabatan Audit Negara kepada peguam N. Sivananthan yang mewakili bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Beliau bersetuju dengan soalan Sivananthan bahawa rampasan dokumen 1MDB oleh polis telah meletakkan syarikat itu dalam keadaan sukar dan mereka perlu meminta itu untuk proses audit.
Kata saksi itu, dia tidak ingat tarikh tepat berhubung tindakan polis merampas dokumen berkenaan namun menyedari berita tersebut.
Sebelum ini semasa perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, mahkamah telah mendengar keterangan bahawa Jabatan Audit Negara menghadapi kesukaran mendapatkan 1MDB supaya berkongsi dokumen sebagai sebahagian daripada audit ke atas firma pelaburan negara itu.
Pada hari ini ditetapkan prosiding pembicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamadkan’ dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan terbabit daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 hingga 26 Februari 2016, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Perbicaraan bersambung pada 27 September ini. – UTUSAN ONLINE