BUTTERWORTH: Pertuduhan 164 kes pengubahan wang haram berjumlah RM20.22 juta melibatkan Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Mansor Musa, 58, akan disebut semula pada 3 November ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Ahmad Azhari Abdul Hamid hari ini bagi pengurusan kes selepas menerima permohonan pihak pendakwaan untuk kesemua pertuduhan dibicarakan secara bersama.
Pada 12 Julai lalu, Mansor yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung didakwa dengan 106 pertuduhan membabitkan nilai RM11 juta di mahkamah tersebut manakala 58 pertuduhan dengan nilai RM9.22 juta dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Julai.
Sebutan semula kes pada hari ini dibuat secara bersama apabila Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Butterworth dengan alasan ia membabitkan dokumen dan saksi sama.
Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Law Chin Ho.
Sementara itu, pada prosiding hari ini, peguam tertuduh, Datuk Hasnal Rezua Merican memohon supaya jaminan di Kuala Lumpur dilepaskan dengan alasan kes itu dibicarakan secara bersama, manakala pihak pendakwaan tidak membantah.
Hakim kemudian membenarkan permohonan tersebut sambil mengekalkan jaminan yang dibuat di Mahkamah Sesyen Butterworth dengan syarat-syarat lain turut dikekalkan.
Sebelum ini, Mansor yang juga bekas pengerusi sebuah koperasi hartanah mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin RM500,000 di Mahkamah Sesyen Butterworth dan RM200,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Beliau turut didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda hingga lima kali hasil daripada kegiatan haram itu atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mansor didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara Disember 2008 hingga Ogos tahun lalu. -UTUSAN ONLINE