KOTA BHARU: Lelaki yang menggigit telinga suami mangsa ragut hingga koyak dalam kejadian samun baru-baru ini, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak wanita tersebut minggu lalu.
Abdul Aziz Abd. Rahman, 29, yang bekerja sebagai buruh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak beg tangan mangsa berusia 30 tahun di persimpangan Kedai Piah, Kampung Binjai, Batu 11, Ketereh, di sini kira-kira pukul 5.45 pagi, 19 September lalu.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Fariz turut mencadangkan tiada sebarang jaminan kerana tertuduh telah melakukan kesalahan serius.
“Mangsa dan suaminya mengalami kecederaan dalam kejadian samun itu. Sekiranya jaminan dibenarkan, perkara ini dikhuatiri menimbulkan kebimbangan kepada orang awam,” kata Fariz.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan tarikh 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes termasuk serahan laporan perubatan.
Akhbar sebelum ini melaporkan tindakan nekad Mohd. Hanif Hilmi, 29, merempuh motosikal ditunggang peragut berjaya menghalang suspek daripada melarikan beg tangan milik isterinya ketika mangsa baru turun dari bas ekspres.
Bagaimanapun, cuping telinga Mohd. Hanif koyak sehingga terpaksa menerima tujuh jahitan, gara-gara digigit suspek yang bertindak ganas ketika mereka bergelut. -UTUSAN ONLINE