Pengembala lembu didakwa bunuh kerani - Utusan Malaysia

Pengembala lembu didakwa bunuh kerani

PENGEMBALA lembu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Munisipal Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita pada 28 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pengembala lembu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Munisipal di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita pada 28 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, M. Kirubakaran, 29, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aziana Azib.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Lee Ling Tee, 40, di sebuah rumah di Jalan Permatang Ara, Taman Seruling Emas, Nibong Tebal di sini di antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi pada 28 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah bagi dua pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamin dan methamphetamine ke dalam tubuh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal di sini.

Tertuduh yang mengenakan kemeja-T berwarna ungu dan berseluar pendek itu didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira pukul 1 pagi pada 29 Ogos lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan berkenaan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 8 November depan sementara menunggu laporan patologi dan bedah siasat manakala tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Akhbar baru-baru ini melaporkan seorang kerani wanita ditemukan mati selepas dipercayai dirogol dan diliwat dengan mayatnya disorokkan di bawah katil di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seruling Emas, awal pagi 28 Ogos lalu.

Mangsa dilaporkan maut selepas mulutnya disumbat dengan seluar dalam dan ditekup ketika mangsa meronta selepas suspek memecah masuk rumah itu kira-kira pukul 2 pagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN