Pengawal keselamatan dipenjara pecah masuk restoran - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan dipenjara pecah masuk restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Seorang pengawal keselamatan dipenjara setahun enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan antaranya memecah masuk sebuah restoran dan memiliki pelbagai harta curi.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Awal Muhamad Sabar, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikemukakan.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memecah masuk dan mencuri wang tunai RM200, tiga buah tabung dan sebuah mesin gerudi tangan dengan anggaran kerugian RM500 milik Alif Ikhwan Yasin.

Kesalahan itu dilakukan di Restoran Yasin Yusof, Batu 8, Jalan Gombak di sini pukul antara pukul 10 malam dan 6 pagi pada 1 September lalu.

Khairul Awal didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Pertuduhan kedua, dia didakwa menerima sebuah kereta curi jenis Proton Saga milik seorang wanita di sebuah parkir Jalan Rusa, Kampung Genting Kelang Baru pukul 4.30 petang pada 20 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga melibatkan perbuatan menyimpan harta curi iaitu sebuah peti besi, 20 rangkai anak kunci serta empat buah buku sijil cuti sakit milik Klinik Kesihatan Batu 8, Jalan Gombak.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak di sebuah kebun tidak beralamat di Bukit Hijau 11, Jalan lama Gombak di sini pukul 5.30 petang pada 20 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pertuduhan keempat, tertuduh memiliki beg galas curi yang di dalamnya mengandungi wang tunai RM344 di sebuah kawasan lot di Kampung Sungai Chincin di sini pukul 2 petang pada 2 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Khairul Awal dipenjara setahun enam bulan dan setahun masing-masing manakala pertuduhan ketiga dan keempat tertuduh dipenjara enam bulan dan tiga bulan.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan secara serentak bermula dari tertuduh ditangkap pada 20 September lalu.

Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Zawani Rahim. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya