ALOR SETAR: Empat pegawai kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan kedudukan membabitkan dana bernilai kira-kira RM2.2 juta.
Perintah tahanan reman sehingga 12 September depan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Wan Nor Fadzillah Wan Ibrahim di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM negeri.
Menurut sumber, empat suspek berusia antara 49 hingga 58 tahun ditahan di Pejabat SPRM negeri antara pukul 3.45 petang hingga 4.15 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek termasuk seorang yang berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan menyalurkan sejumlah dana syarikat GLC tersebut berjumlah RM2.2 juta kepada dua syarikat lain yang mana mereka disyaki memiliki kepentingan di dalamnya.
Tindakan itu didakwa dilakukan antara 2016 hingga 2019.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. -UTUSAN ONLINE