KUANTAN: Akibat membuang sisa pepejal komersial sewenang-wenangnya, pemilik kedai tomyam didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
Orang kena saman (OKS), Mohd. Zuhairi Razali selaku tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut berhampiran premis miliknya di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, Julai tahun lalu.
Mohd. Zuhairi juga yang merupakan pengurus kedai tersebut membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Kafli Che Ali.
Dalam pada itu, pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa dari Perbadanan Sisa Pepejal dan Kebersihan Awam (SWCorp), Muhamad Fadhli Syam Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik restoran itu melalui pekerjanya didakwa melakukan kesalahan terbabit pada pukul 12.40 pagi, 21 Julai 2020.
Dakwaan mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya.
Bagaimanapun tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah. -UTUSAN ONLINE