Bakar tiga kereta, peniaga barang lusuh berdepan 14 tahun penjara - Utusan Malaysia

Bakar tiga kereta, peniaga barang lusuh berdepan 14 tahun penjara

Utusan Online pada 21 September melaporkan, gara-gara terdesak ingin membayar hutang ah long mencecah setengah juta, dua rakan bertindak membakar tiga buah kenderaan milik sendiri demi membuat tuntutan palsu insurans bernilai RM250,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang peniaga barangan lusuh berdepan hukuman penjara 14 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan membakar tiga buah kenderaan, dua minggu lalu.

Tertuduh, Ang Ban Yong, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, Ban Yong didakwa telah dengan niat melakukan perbuatan membakar menggunakan minyak petrol, dengan mengetahui perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan kerosakan kepada harta iaitu tiga buah kenderaan.

Kenderaan tersebut adalah milik tiga individu yang nilainya melebihi RM50,000 atau lebih.

Tindakan itu didakwa dilakukan tertuduh pada pukul 10.55 malam di Jalan Jasa Merdeka 18, Taman Datuk Tamby Chik Karim dalam daerah Melaka Tengah pada 12 September lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari mencadangkan jaminan RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam Loong Meng Si yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah dapat diberikan dengan alasan anak guamnya kini menanggung isteri serta tiga orang anak berusia lima bulan sehingga 11 tahun.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,500 dan menetapkan tarikh 21 Januari ini sebagai sebutan semula kes.

Utusan Online pada 21 September melaporkan, gara-gara terdesak ingin membayar hutang ah long mencecah setengah juta, dua rakan bertindak membakar tiga buah kenderaan milik sendiri demi membuat tuntutan palsu insurans bernilai RM250,000.

Taktik kedua-dua lelaki berusia 36 tahun itu bagaimanapun dihidu polis sebelum diberkas di sekitar bandar Melaka pada 13 dan 14 September lalu. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN