KUALA LUMPUR: Seramai 22 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang `Geng Sakai’, enam tahun lalu.
Rosli Sahak yang dikenali sebagai `Sakai’ dipercayai ketua kumpulan itu bersama 21 yang lain memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Melayu dan Tamil, di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Mereka ialah A. Ravindran, A. Uthayakumar, S. Sathiaseelan, T Kumar, A. Kumaresan, N Tanasilan, Thirumal Raj, M. Darshan, A Dineswaran, S Mohanraj dan R. Nantha Kumar.
Tertuduh lain termasuk S. Gobinath, M. Ravishankar, M. Thinesh, N. Tannish, S. Sagadevan, Mohamad Faisal Mohamad Sharif, Sukhdave Singh Jesvir Singh, R. Logeswaran, R. Tannesh dan A. Jayaprakash.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh yang berusia antara 18 dan 47 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu di Flat Sri Selangor, di sini antara Januari 2015 dan Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Manaff, Nur Ainaa Ridzwan dan Rajdeep Singh Bhupinder Singh.
Seramai 17 tertuduh diwakili peguam Datuk Sheelan Arjunan, Datuk T. Harpal Singh, Datuk Geethan Ram Vincent, Revin Kumar, Mahajoth Singh, Wan Zaleha Abdul Wahab, Naizatul Zambrina Karizaman, Jay Moy Wei Jiun, Jayarubbiny, P. Taneswaran dan K. Komagan manakala lima lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Oktober ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN ONLINE