Suami pengasuh dera, bunuh bayi digantung sampai mati - Utusan Malaysia

Suami pengasuh dera, bunuh bayi digantung sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas tukang gunting selepas dia didapati bersalah membunuh seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang diasuh isterinya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Hazmi Majid, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir peringkat pembelaan.

Abdul Halim dalam penghakimannya berkata, kecederaan yang dialami bayi berkenaan, Nur Muazara Ulfa Muhammad Zainal atau lebih dikenali sebagai Zara yang teruk pada bahagian luar dan dalaman menunjukkan tertuduh seorang yang tidak berperikemanusiaan.

Kata beliau, di samping mengalami pendarahan yang banyak pada bahagian bawah kulit kepala, tulang tengkorak yang pecah, terdapat juga bekas lebam pada lengan yang menurut doktor ia adalah luka akibat gigitan orang dewasa.

“Lebih menyedihkan mangsa turut didera dari segi seksual dengan dahsyatnya dan perbuatan kamu (tertuduh) amatlah kejam.

“Apa dosa anak ini sehingga tergamak kamu menderanya dan memperlakukannya sedemikian rupa? Kamu sendiri ada anak, apa perasan kamu seandainya anak kamu diperlakukan seperti mana kamu lakukan kepada si mati?” katanya.

Mengikut pertuduhan, Hazmi yang merupakan suami kepada pengasuh bayi itu didakwa telah membunuh dan menyebabkan kematian bayi perempuan tersebut di sebuah unit rumah apartmen di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi antara pukul 10.30 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 7 November 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seramai 22 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Zuraini Abdul Razak manakala pembelaan yang diwakili peguam, A. Jeyaseelan hanya memanggil tertuduh yang memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi.

Hazmi pertama kali dituduh di Mahkamah Majistret Kajang pada 23 November 2018.

Akhbar sebelum ini melaporkan perbuatan tidak berperikemanusiaan dilakukan ke atas Zara yang meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya.

Ibu mangsa pada awalnya dimaklumkan pihak Hospital Serdang bahawa mangsa dihantar ke hospital itu oleh pengasuh dan suaminya selepas pasangan terbabit mendakwa mangsa tercekik epal.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan koyakan pada selaput dara dan duburnya manakala hasil bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala’ dengan tempurung kepala mangsa pecah selain kesan lebam pada bahagian atas kiri dan kanan kepala mangsa.

Susulan itu, pasangan suami isteri berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kes kematian menyayat hati bayi tersebut yang mendapat perhatian masyarakat di seluruh negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya