Setiausaha Wanita DAP Selangor, aktivis didakwa - Utusan Malaysia

Setiausaha Wanita DAP Selangor, aktivis didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Wanita DAP Selangor, Nalina Nair Rama Krishnan dan seorang aktivis hari ini didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan merusuh dan berkelakuan tidak senonoh di sebuah balai polis di sini, minggu lalu.

Bagaimanapun Nalina Nair, 32, dan Sujatra Jayarah, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandi Chin dan Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan, mereka masing-masing didakwa telah merusuh, berkelakuan tidak senonoh atau mengaibkan di ruangan lobi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pukul 9 malam pada 19 Ogos lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar masing-masing menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam Farida Mohammad dan V. Yoges, yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guam mereka banyak terlibat dalam kerja amal selain tiada risiko untuk melarikan diri.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan Nalina Nair diikat jamin RM5,000 manakala Sujatra diikat jamin RM2,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Tarikh 1 Oktober ini ditetapkan sebutan kes.

Media sebelum ini melaporkan seramai 31 ahli Sekretariat Solidariti Rakyat dikompaun RM2,000 setiap seorang setelah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana terlibat dalam perhimpunan di padang Dataran Merdeka, di sini, pukul 8 malam pada 19 Ogos lalu.

Kumpulan indvidu itu berhimpun di Dataran Merdeka sempena program memorial memperingati mereka yang gugur akibat pandemik wabak Covid-19 dan mereka dilihat berhimpun sambil membakar lilin serta memegang kain rentang putih bertulis ‘Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi’. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya