SHAH ALAM: Seorang penolong jurutera Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM5,000 pada tahun lalu.
Tertuduh, Nurul Azmunir Ahmad, 40, yang bertugas di Jabatan Kejuruteraan Gred JA29 di MDKS membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Anas Mahadzir.
Berdasarkan pertuduhan, Nurul Azmunir didakwa telah menerima wang tunai RM5,000 dengan tiada balasan daripada seorang individu yang mana diketahui mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasmi iaitu telah memberikan nilai anggaran jabatan bagi sebut harga projek kerja-kerja membaik pulih laluan bersimen serta kerja-kerja berkaitan di Kampung Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang, Kuala Selangor.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Kuala Selangor Utama, Kuala Selangor antara pukul 5 petang hingga 7 malam pada 15 Januari 2020.
Nurul Azumir didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat-syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Bagaimanapun peguam bela, Hamdan Hamzah memohon jaminan RM5,000 dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama dalam siasatan termasuk datang sendiri ke pejabat SPRM semalam untuk dituduh di mahkamah pada hari ini.
Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan pasport antarabangsa milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 13 September hadapan. -UTUSAN ONLINE