Kes rogol bekas exco Perak: Tiada kesan air mani pada barang kes - Utusan Malaysia

Kes rogol bekas exco Perak: Tiada kesan air mani pada barang kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tiada kesan air mani ditemukan pada pakaian, keratan tilam dan mop yang diambil dari rumah bekas exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong.

Pengarah DNA Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Nor Aidora Saedon berkata, keputusan itu berdasarkan ujian asid phosphosate (AP) ke atas bahan bukti yang diberikan pihak berkuasa iaitu baju, seluar, seluar dalam, keratan tilam dan mop.

“Bagi pakaian, saya telah menjalankan ujian AP ke atas beberapa tompokan yang telah ditanda bagi mengenal pasti kehadiran air mani dan keputusan ujian itu menunjukkan tiada kesan air mani dijumpai pada pakaian-pakaian tersebut.

“Bagi mop pula, sekiranya ada kesan air mani di situ, ia juga tidak dapat dikesan dengan ujian AP,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Azalina Rashdi di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini hari ini.

Nor Aidora yang merupakan saksi pendakwaan ke-17 memberitahu, AP merupakan ujian yang sahih bagi mengenal pasti kehadiran air mani.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ujian tersebut tidak dapat mengesan air mani.

“Satu, tiada air mani (pada barang kes), kedua, sekiranya ada, air mani itu mungkin telah dibasuh dengan bersih dan ketiga, air mani itu mungkin terlalu sedikit dan telah mengalami degradasi akibat suhu melampau dan kelembapan yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, disoal Azalina sama ada proses ‘polilight’ ke atas sampel yang diambil mencukupi untuk satu analisis asid deoksiribonukleik (DNA) dibuat, Nor Aidora berkata polilight hanya satu proses mengesan bukannya satu analisis pengesahan.

“Berdasarkan Journal of Forensic Sciences tahun 2006, pengesanan melalui polilight memberikan 50 peratus ‘false positive’ dan ujian ini disarankan untuk dibuat ujian lain bagi tujuan comfirmatory (pengesahan),” katanya.

Sementara itu Nor Aidora turut memberi penjelasan lanjut ke atas soalan peguam Datuk Rajpal Singh mengenai penggunaan polilight bukan hanya untuk mengesan kehadiran air mani tetapi juga cecair lain.

“Betul polilight bukan hanya untuk melihat kehadiran air mani dan boleh digunakan untuk melihat bahan bukti biologi yang lain seperti kesan air kencing dan darah

“Bagaimanapun, perlu faham yang hanya kesan air mani sahaja yang susah dilihat menggunakan mata kasar kerana itu polilightt digunakan.

“Bagi kesan air kencing dan air teh, kita boleh lihat memang ada tompokan. Kalau kesan darah nampak warna merah. Dalam kes ini, saya menjalankan ujian kesan air mani iaitu AP ke atas kesemua (barang kes) yang dihantar,” katanya.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya