KUALA LUMPUR: Permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak barangan berharga milik Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya serta 16 pihak lain yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 8 November ini.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas pihak-pihak bersetuju supaya kes tersebut diputuskan dengan mengambil kira hujahan bertulis yang telah dikemukakan sebelum ini.
Hakim berkenaan memaklumkan beliau memerlukan masa selama dua bulan untuk menyediakan penghakiman bertulis.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd. Jeffrey Ong berkata, prosiding hari ini diteruskan dengan mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan selepas semua pihak bersetuju mengguna pakai hujahan bertulis tanpa perlu hujahan lisan.
Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran penghujahan lisan pihak pendakwaan manakala hujahan bertulis telah difailkan pada 14 Julai lalu.
Pada 23 Julai lalu, Hakim Mohamed Zaini menangguhkan prosiding ke hari ini selepas pihak pendakwaan memaklumkan wujud perkembangan baharu yang saling berkaitan dan memberi kesan terhadap kes-kes lucut hak yang lain.
Pihak pendakwaan ketika itu memaklumkan bahawa mereka memerlukan masa untuk meneliti perkara tersebut sebelum memaklumkan kepada mahkamah tindakan yang akan diambil selanjutnya.
Pada 8 Mei 2019, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis pelucuthakan beratus-ratus item termasuk beg tangan berjenama dan 27 kenderaan yang dirampas daripada Najib dan isterinya, tiga anak pasangan itu serta 13 individu dan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Permohonan mengikut Seksyen 56(1) dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, difailkan antara lain atas alasan bahawa pendakwaan berpuas hati kesemua item yang dirampas antara 17 Mei 2018 dan 11 Mac 2019 mempunyai perkaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan atau sebagai hasil aktiviti haram yang membabitkan responden.
Antara barangan yang disita oleh polis pada 17 Mei 2018 ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM537,000.
Turut disita ialah Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baharu).
Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat jam tangan pelbagai jenama, empat beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama manakala 40 beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.
Sebanyak 27 kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah dan aset lain.
Selain bekas Perdana Menteri dan isteri, pihak pendakwaan turut menamakan anak mereka iaitu Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), Nor Ashman Razak Mohd. Najib dan Nooryana Najwa Mohd. Najib sebagai responden pertama hingga kelima.
Selain itu, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn. Bhd., Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn. Bhd., Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho), Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden-responden.