SEREMBAN: Dua pegawai Imigresen yang ditahan dalam Op Selat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini atas tiga pertuduhan menerima rasuah bernilai RM13,300 bagi melepaskan warganegara asing daripada sebarang tindakan Jabatan Imigresen.
Kedua-duanya didenda sebanyak RM10,000 dan RM6,000 atas kesalahan yang dilakukan pada 2019 dan 2020 itu.
Tertuduh pertama, Mohamad Izhmi Mohamad Nor, 35, mengaku bersalah di hadapan Hakim, Madihah Harullah atas pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu menerima wang berjumlah RM10,000 daripada Mohamad Jeffry Mohd. Zin yang mana dia mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.
Kesalahan itu dilakukan di Kedai Burger Aboi, Kampung Jijan di Nilai pada Oktober 2020.
Atas pengakuan bersalah tersebut, Mohamad Izhmi yang merupakan Pegawai Imigresen Gred KP19 yang bertugas di Jabatan Imigresen, Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 ketika kejadian didenda sebanyak RM15,000.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh akan dipenjarakan selama 10 bulan. Mahkamah turut membenarkan lucut hak ke atas sebuah motosikal jenis Ducati Panigale milik tertuduh.
Sementara itu, tertuduh kedua, Muhammad Rushdi Zainal, 27, mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan nilai suapan berjumlah RM3,300.
Bagi pertuduhan pilihan pertama, Muhammad Rushdi yang juga Pegawai Imigresen Gred KP19 dan bertugas di Jabatan Imigresen KLIA, telah diberikan suapan berjumlah RM1,000 oleh Mohd. Shah Ezywan Abd. Rahman sebagai orang tengah untuk ejen warga asing bagi membantu melepaskan warga asing tanpa melalui proses dan prosedur yang betul.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Maybank Islamic Bhd. dekat Bandar Baru Nilai di sini pada 12 Ogos 2019.
Bagi pertuduhan pilihan kedua, pada 20 Julai 2020 di lokasi yang sama, tertuduh turut diberikan suapan sebanyak RM2,300 oleh individu yang sama juga untuk tujuan yang serupa.
Mahkamah menerima pengakuan bersalah tertuduh, sehubungan itu, Madihah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama 10 bulan.
Mahkamah turut membenarkan lucut hak ke atas sebuah kereta Honda Civic milik tertuduh, sebuah telefon bimbit Iphone X dan sebuah komputer riba.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh pertama diwakili peguam, Mohamad Zahid Ahmad manakala tertuduh kedua diwakili peguam, Mohd. Irwan Sumadi. -UTUSAN ONLINE