Buat laporan palsu berhubung kes samun, wanita didenda RM2,000 - Utusan Malaysia

Buat laporan palsu berhubung kes samun, wanita didenda RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akibat membuat laporan palsu berhubung kejadian samun sehingga mengalami kecederaan, seorang wanita menerima padahnya apabila didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Nurfarahiyah Yusri, 20, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sekiranya wanita itu gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Nurfarahiyah didakwa telah memberikan maklumat kepada seorang penjawat awam iaitu pegawai polis, Mohd. Sheqal Roslan, maklumat secara lisan yang diketahui sebagai palsu.

Ia dengan maksud untuk menyebabkan penjawat awam itu menggunakan kuasa yang sah untuk menyiasat perkara seperti yang dilaporkan dalam laporan polis berkenaan yang mana pegawai polis itu sepatutnya tidak lakukan sekiranya fakta sebenar diketahui.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan 10, Taman Greenwood, Batu Caves, Gombak di sini pukul 4.24 petang pada 14 Ogos lalu yang didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesusahan pihak polis dalam melakukan siasatan terhadap laporan yang dibuat sendiri oleh wanita berkenaan.

Bagaimanapun Nurfarahiyah yang diwakili peguam Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak memohon mahkamah meringan hukuman dengan alasan anak guamnya menyesal dengan perbuatannya selain ketika itu berdepan dengan masalah emosi.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang juga anggota polis telah menerima satu laporan daripada wanita itu yang mana dalam laporan polis itu mengatakan dia menjadi mangsa ragut dan telah ditikam di bahagian paha.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati wujud kecurigaan terhadap laporan polis itu kerana dia gagal memberikan gambaran jelas kejadian selain kedudukan pisau pada pahanya berada dalam keadaan tegak seolah-olah mangsa menusuk dirinya sendiri.

Media sebelum ini melaporkan polis mengesahkan seorang wanita cedera bukan akibat disamun sebaliknya kecederaan itu dilakukannya sendiri dengan menikam paha kanannya di Jalan 10, Taman Greenwood, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dakwaan yang dibuat wanita itu adalah tidak benar sama sekali.

Menurut polis, kejadian samun seperti yang didakwanya tidak berlaku dan individu itu didapati telah mencederakan diri sendiri dengan menikam paha kanannya kerana tekanan perasaan akibat masalah keluarga. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya