4 lelaki termasuk dua beradik didakwa bunuh lelaki - Utusan Malaysia

4 lelaki termasuk dua beradik didakwa bunuh lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Empat lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di tepi jalan Batu 9, Cheras di sini, dua minggu lalu.

Mereka ialah Gian Tin Siong, 48, dan adiknya Gian Then Seng, 46, serta dua lagi lelaki lain Tan Kok Leong, 53, dan Ngh Wai Seng, 45.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empatnya selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan keempat-empat tertuduh didakwa membunuh Lim Chau Ching, 36, di tepi jalan di Jalan Puteri Satu, Cheras di sini pukul 6.45 petang pada 2 Ogos lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Tiada jaminan dibenarkan dan mahkamah kemudian menetapkan 23 September ini untuk sebutan kes.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu dalam prosiding sama, keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang lagi lelaki Yap Siew Kin, 49, pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Pada 3 Ogos lalu, media melaporkan pergaduhan sekumpulan lelaki berakhir dengan tragedi apabila seorang lelaki maut dipukul dan ditikam dengan pisau di tepi jalan kawasan Taman Taragon Puteri, Batu 9 Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki kira-kira pukul 6.45 petang.

Hasil soal siasat ke atas suspek yang ditahan mendapati pergaduhan itu berlaku disyaki berpunca daripada masalah hutang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya