4 bomoh didakwa cederakan pengamal perubatan tradisional - Utusan Malaysia

4 bomoh didakwa cederakan pengamal perubatan tradisional

EMPAT bomoh yang dipercayai mencederakan seorang pengamal perubatan tradisional dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Empat bomoh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pengamal perubatan tradisional yang cuba merawat wanita dipercayai disihir, tiga minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Shamsul Izwan Midin, 33; Idrees Ishak, 42; Muhammad Firdaus Mohd. Adnan, 33 dan Mohd. Eric Mohd. Ramli, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, mereka berempat didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa, Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 39, di sebuah inap desa di Kampung Huda, di sini kira-kira pukul 4 pagi pada 5 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahril Ramli manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad.

Terdahulu, Mohd. Azrul Hasyimi memohon satu jaminan rendah diberikan kepada keempat-empat anak guamnya sebelum mahkamah membenarkan kesemua tertuduh dijamin masing-masing sebanyak RM3,000 bersama seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 4 Oktober depan sebagai sebutan semula kes. Kesemua tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Terdahulu, tular di media sosial insiden seorang pengamal perubatan tradisional berasal dari Kangar, Perlis cedera dipukul empat lelaki yang mendakwa mereka bomoh dan ustaz di sebuah inap desa.

Kejadian itu disyaki berpunca daripada perselisihan faham antara kumpulan lelaki itu dengan mangsa yang sedang membantu merawat seorang wanita dipercayai mangsa ilmu hitam dalam sebuah video yang turut tular sebelum kejadian.

Suspek dikenali sebagai Tok Singa, Tok Hijau, Wan Selamos dan Idris dikatakan memukul mangsa sehingga lebam di mata kiri selain calar pada muka dengan menggunakan batang plastik serta penyangkut baju.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya